Profesion keguruan akan menjadi lebih
berprestij dan elit apabila pengambilan dibuat hanya dalam kalangan graduan 30
peratus terbaik dalam negara dalam usaha mentransformasi profesion itu menjadi
profesion pilihan.
Ini
bermakna Kementerian Pendidikan akan meninggikan syarat kelayakan kemasukan ke
profesion keguruan bagi memastikan semua guru yang mengikuti setiap latihan
perguruan memenuhi syarat minimum kelayakan akademik.
Kementerian
turut berhasrat untuk mengubah Institut Pendidikan Guru (IPG) kepada universiti
latihan guru bertaraf dunia menjelang 2020 dan menilai semula kurikulum latihan
praperkhidmatan semasa bagi memastikan guru bersedia untuk mengajar kemahiran
berfikir aras tinggi yang diperlukan murid.
Menurut
Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang dilancarkan
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin,
mulai tahun ini, guru akan menerima program Pembangunan Profesional Berterusan
(CPD) bagi membantu guru mencapai potensi penuh.
Program
CPD itu termasuk latihan komponen teras dan elektif mengikut keperluan
pembangunan diri yang akan diberi latihan secara individu daripada penyelia
masing-masing.
Pelan
itu turut menyebut, guru boleh memilih laluan kerjaya yang menarik berdasarkan
prestasi, potensi dan minat mereka, sama ada memilih untuk menjalankan tugas
kepimpinan atau menjadi guru pakar.
Selain
itu, guru juga akan dinilai secara tahunan oleh pengetua atau guru besar dengan
menggunakan input yang mungkin diberikan oleh rakan sejawat dan menggunakan
instrumen penilaian baharu yang memberi tumpuan kepada keupayaan guru
menyampaikan pengajaran secara berkesan di dalam dan luar bilik darjah.
Dalam
memastikan kepimpinan berprestasi tinggi ditempatkan di setiap sekolah,
kementerian akan menukar kriteria pemilihan pengetua dan guru besar daripada
pemilihan berasaskan tempoh perkhidmatan kepada pemilihan yang berfokuskan
kecekapan kepimpinan.
Setiap
pengetua atau guru besar juga dikehendaki mendapatkan sijil Kelayakan
Profesional Kebangsaan bagi Kepimpinan Pendidikan (NPQEL) daripada Institut
Aminuddin Baki sebelum boleh dilantik.
Pengetua
dan guru besar yang bakal dilantik juga akan mengikuti program pementoran
selama satu bulan di bawah bimbingan pengetua dan guru besar yang akan
berpindah dan bersara.
Dalam
pada itu, kementerian akan memastikan 100 peratus sekolah memenuhi keperluan
infrastruktur asas menjelang 2015, bermula dengan Sabah dan Sarawak bagi
mewujudkan persekitaran pembelajaran yang selamat, bersih dan kondusif.
Kementerian
juga akan melaksanakan prinsip asas yang telus dan saksama dalam pengagihan
kewangan dan sokongan lain kepada semua sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan.
Bagi
memanfaatkan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dalam meningkatkan kualiti
pembelajaran, kementerian menyediakan akses Internet dan persekitaran
pembelajaran maya melalui iBestariNet bagi kesemua 10,000 sekolah menjelang
tahun ini.
Perpustakaan
video pengajaran oleh guru cemerlang akan diwujudkan supaya guru boleh
menggunakan sumber ini bagi mendapatkan idea dan murid pula dapat menjadikannya
sebagai alat ulang kaji
SUMBER
: BERNAMA